Bunkface dilanda kontroversi

Bunkface dilanda kontroversi


KECOH seketika dunia hiburan apabila pihak media mengatakan bahawa kumpulan Bunkface yang baru meningkat ini sukar untuk bekerjasama dengan media dan bermacam-macam perangai lagi. Ada yang mengatakan mereka tidak memerlukan media untuk memberikan sebarang publisiti kepada kumpulan yang sedang popular dengan lagu Situasi ini.

Semasa fotografi yang diadakan di Studio Utusan, Bunkface turut hadir ditemani pengurus mereka, Zara yang juga terlibat dalam kontroversi yang melanda.

Ada yang mengatakan cara pengurus mereka menolak pelawaan wartawan mengguris hati banyak wartawan sekaligus memalitkan arang kepada kumpulan ini.

Bunkface yang dianggotai oleh Sam, Paan, Youk dan Biak ini sudah tiga tahun ditubuhkan. Selama ini mereka hanya bergerak sebagai band indie kini cuba menerobos arena perdana mengikut jejak langkah kumpulan Hujan, Meet Uncle Hussain dan lain-lain.

Walaupun tanpa kehadiran Biak yang sedang belajar jauh dari ibu kota, sesi fotografi bersama kumpulan yang ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Minta maaf

Mungkin ada kebenaran atau sekadar kebetulan, mana-mana kumpulan indie yang melangkah ke arus perdana pasti akan ditimpa kontroversi.

Selaku vokalis, Sam sendiri sememangnya tidak menyangka segala masalah ini bakal mereka hadapi sedangkan usia Bunkface sendiri yang masih hijau.

"Apabila timbul perkara-perkara yang kurang enak ini, ia memang membuatkan kami terkejut. Walaupun pelbagai persepsi timbul, kami bersedia untuk menghadapinya.

"Bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak. Kami sedar imej Bunkface sedikit tercalar sejak kebelakangan ini. Tapi, kami juga mahukan ruang untuk Bunkface menjelaskan keadaan yang sebenarnya," ujar Sam lagi.

Pengalaman mematangkan Bunkface. Mungkin itulah ayat yang paling sesuai untuk menggambarkan keadaan yang berlaku sekarang. Semakin ramai mula meminati mereka, semakin banyak dugaan yang melanda.

Sam sendiri mengakui bahawa di sebalik semua yang berlaku ini, memang ada hikmahnya. Akui Sam, mereka juga bersyukur kerana setiap teguran akan mematangkan mereka.

"Kadangkala kami tidak sedar melakukan dan mengguris perasaan orang lain. Bila adanya teguran sebegini, kami dapat memperbaiki kesilapan.

"Bunkface amat menghormati wartawan selama ini. Jadi kami juga mengharapkan hubungan yang lebih baik dan profesional selepas ini," kata anak jati Klang, Selangor ini.

Mahu pop punk diterima

Memiliki bentuk badan yang kecil bukan menjadi penghalang kepada Paan untuk menjadi pemain gitar utama kepada kumpulan Bunkface ini. Ramai yang memuji kelincahan Paan apabila ketika membuat persembahan.

Kata Paan, Bunkface membawakan aliran muzik pop punk dalam perjuangan mereka.

"Mungkin ini adalah satu kelainan yang ingin kami bawakan kepada peminat-peminat Bunkface sejak kami masih bergerak secara sendirian lagi. Memang Bunkface sendiri mengharapkan sokongan daripada semua peminat untuk terus mengukuhkan nama Bunkface dan menjadikan kami antara kumpulan terbaik nanti," kata pelajar jurusan muzik di Akademi Seni Warisan ini.

Paan sendiri mengakui bahawa dia mula mengenali gitar sejak di bangku sekolah lagi. Tapi mula serius selepas tamat sekolah menengah.

Paan boleh dikira beruntung kerana mendapat sokongan daripada seluruh ahli keluarganya. Jelasnya sejak berada di bangku sekolah lagi mereka telah menubuhkan Bunkface ini.

"Tapi pada waktu itu kami masih lagi bergerak secara sendirian. Memang dari dahulu lagi Bunkface sudah menyertai banyak gig-gig dan kami yakin Bunkface sudah mempunyai pengikut tersendiri.

"Walaupun saya masih lagi menuntut, tetapi saya tidak sesekali mengabaikan pelajaran," ujar Paan yang pernah mengikuti kursus Kejuruteraan Mekanikal tetapi hanya bertahan separuh jalan.

Bakal terbit album

Melihatkan ledakan lagu Situasi yang sering berkumandang di corong-corong radio pada masa kini, ia sedikit sebanyak memberikan gambaran bahawa lagu mereka memang digemari ramai.

Bagi Youk, dia amat teruja dengan sambutan yang diterima dan mahu bekerja dengan lebih keras bagi memberikan yang terbaik. EP mereka yang telah dilancarkan pada penghujung tahun 2007 berjudul Lesson Of The Season yang mengandungi enam lagu Inggeris mendapat sambutan yang menggalakkan.

"Memang lagu Silly Lilly dan Situasi menaikkan nama kami. Untuk album yang akan datang, Bunkface sudahpun merakamkan 10 buah lagu termasuklah tiga lagu Melayu," ujar anak tunggal ini.

Mungkin ramai yang tidak menyangka kesemua lagu yang dimuatkan dalam EP terdahulu dan album yang akan datang sebenarnya dicipta oleh ahli Bunkface sendiri.

Ini membuktikan bahawa mereka tidak hanya sekadar bermain muzik malah turut berbakat dalam penciptaan lagu.

"Saya juga yakin muzik yang kami bawa ini mampu diterima ramai dan kami akan cuba sedaya upaya untuk terus memberikan yang terbaik kepada peminat Bunkface. Memang saya sendiri berharap untuk meletakkan Bunkface ke tempat yang paling tinggi di persada muzik tanah air.

"Dalam usia yang masih baru dalam bidang ini, memang kami mengharapkan tunjuk ajar dan sokongan dari semua pihak agar kehadiran kami dalam industri ini diterima," kata Youk yang menyasarkan dapat menembusi pasaran antarabangsa suatu hari nanti.

Sumber berita: Utusan Online

No comments:

Post a Comment

Komen di sini

Kongsi post yang anda SUKA ini di FACEBOOK & media sosial lain dengan rakan anda.







Arkib