Cuci the Musical sudah bersedia
|
|
BERMULA malam ini, pementasan Cuci the Musical akan membuka tirainya di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) sehingga 8 November depan.
Ketika ini, berita dan perkhabaran tentang pementasan ini cukup hebat diperkatakan ramai dan mereka menjangkakan pementasan ini mampu menjadi pementasan terhebat sebelum tirai tahun 2009 dilabuhkan.
Masakan tidak, ramai yang ternanti-nantikan bagaimanakah hasil sentuhan magis Raja Maliq yang bertanggungjawab merealisasikan imaginasi penerbitnya, Hans Isaac untuk pementasan ini.
Bukan itu sahaja, penjualan tiket juga amat menggalakkan dan dikhabarkan ketika ini hanya tinggal lebih kurang 30 peratus sahaja lagi yang masih belum terjual.
Sesebuah pementasan teater itu tidak akan berjaya seandainya tiada komitmen dan kesungguhan semua pihak yang menjayakan teater tersebut.
Pelbagai aspek perlu diambil kira dalam memastikan kejayaan sesebuah pementasan teater itu dan sudah pasti, tunjang utama pementasan teater adalah terletak pada pengarahnya.
Seandainya pengarah tidak mampu memberikan tunjuk ajar dalam membentuk karakter seperti mana telah ditetapkan, nescaya para pelakonnya juga tidak akan berupaya memberikan persembahan yang mantap.
Saat bertemu dengan salah seorang pengarah pementasan Cuci the Musical iaitu Harith Iskander, dia mengakui tugasnya untuk mengarahkan teater muzikal ini bukanlah mudah yang disangka.
Meskipun sudah berada 15 tahun di dalam industri, namun dia tidak mampu menyembunyikan perasaan gemuruh dan gementarnya dalam menantikan reaksi penonton kelak.
Biarpun dia hanya pengarah bersama di samping Datuk Zahim Al-Bakri, tetapi tugasnya tidak seharusnya dipandang sebelah mata terutama sekali dari segi skripnya.
"Saya menerima tawaran ini sebab memikirkan hubungan persahabatan saya dengan Hans. Bila dia datang dan mahu saya terlibat sama dalam pementasan ini, agak sukar sekali untuk menolaknya.
"Tugas utama saya sebenarnya adalah untuk menajamkan lagi elemen komedi menerusi naskhah ini agar ia menjadi sebuah pementasan yang menarik untuk ditonton.
"Itulah cabaran utama saya kerana untuk menghiburkan penonton menerusi sebuah karya komedi bukan satu tugas yang mudah," kata Harith sewaktu ditemui di Studio Linda Jasmine, Ampang, Selangor baru-baru ini.
Cuci the Musical dibarisi pelakon-pelakon hebat seperti Afdlin Shauki, AC Mizal, Awie, Hans Isaac, Vanidah Imran, Adibah Noor dan Ramli Hassan.
Harith atau nama sebenarnya, Harith Iskander Musa mengakui penglibatannya sebagai pengarah teater tidaklah seluas mana jika hendak dibandingkan dengan Zahim.
Tetapi, dia percaya menerusi pengalaman yang diperolehinya sewaktu menjadi pengarah pementasan Frogway the Musical dua tahun lalu mampu memperbaiki kelemahannya sebelum ini.
"Untuk sebuah pementasan teater muzikal yang berjaya dialog dan lagunya perlu seiring dengan jalan ceritanya agar mudah difahami oleh penonton.
"Impak itu seharusnya bermula daripada lagu pembukaan lagi dan ia perlu mengalir mengikut aliran yang betul demi memastikan ia berjalan dengan lancar.
"Elemen itu amat penting dan saya belajar semuanya itu sewaktu terlibat dalam pementasan Frogway.
"Selepas hampir lima bulan menjalani latihan intensif bersama pelakon dan barisan ensemble, saya berpuas hati setakat ini dengan komitmen serta persembahan yang mereka berikan," ujar Harith yang mula mencuri perhatian sejak membintangi sitkom Jangan Ketawa sekitar awal tahun 1990-an.
Selain itu, cabaran yang perlu Harith hadapi adalah untuk menggabungkan gerak tari dan kedudukan para pelakon serta ensemble pada lokasi yang telah ditetapkan.
Ia berikutan kedudukan sewaktu latihan amat berbeza sebaik sahaja krew produksi mula memasuki Panggung Sari, IB yang cukup merisaukannya.
"Alhamdulillah, sejak kami mula masuk IB pada 13 Oktober lalu semuanya berjalan dengan lancar seperti mana yang dirancang sebelum ini.
"Dengan latihan yang berlangsung dalam tempoh 10 hari sebelum pementasan bermula, kami percaya semua pelakon akan dapat membawakan watak mereka dengan baik sekali," katanya yang turut berkolaborasi dengan rakan karibnya, Douglas Lim untuk memantapkan lagi jalan cerita Cuci the Musical ini.
Tidak hanya menggalas tanggungjawab sebagai seorang pengarah, tetapi Harith juga berlakon dalam teater muzikal ini.
Memegang watak sebagai Wira, seorang antagonis juga mencabar kredibilitinya sebagai seorang pelakon.
Tidak mahu peminat membandingkannya dengan aktor Khir Rahman yang memegang watak sama dalam versi filem, anak kedua daripada dua beradik ini akan menjadi dirinya sendiri.
Jelasnya, kelebihan untuk menjadi pengarah dan pelakon dalam masa yang sama adalah sewaktu berlakon di atas pentas dia dapat melihat dan menilai sendiri kelemahannya menerusi teguran yang diberi Zahim.
"Dulu sewaktu Frogway, saya menjadi pengarah dan pelakon yang membuatkan saya tidak dapat melihat di manakah kelebihan dan kekurangan diri saya.
"Menerusi Cuci the Musical, saya dapat memperbaikinya dan saya bangga kerana dapat melibatkan diri dalam pementasan ini," ujarnya yang terlibat dalam empat babak serta menyanyi menerusi sebuah lagu solo dalam pementasan teater muzikal ini.
Sementara itu, bagi Stephen Rahman-Hughes tugasnya kali ini juga tidak kurang hebat dan mencabar dirinya sebagai seorang aktivis teater.
Jika sebelum ini peminat dan pengikut teater di negara ini dapat menyaksikan lakonan hebatnya sebagai Hang Tuah dalam Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLM) selama tiga musim, kali ini portfolionya bertukar.
Dalam Cuci the Musical, Stephen diberi tanggungjawab besar sebagai koreografer untuk mereka gerak tari pementasan yang menelan belanja hampir RM2 juta ini.
"Perbezaannya cukup ketara jika hendak dibandingkan waktu saya terlibat dalam PGLM terutama dari segi suasana dan senario itu sendiri.
"Namun, saya tidak menafikan tugas sebagai koreografer ini sebenarnya lebih sukar daripada beraksi di atas pentas.
"Sebabnya, tugas mereka gerak tari itu bukan mudah apatah lagi ia membabitkan lagu yang kontemporari di mana gerak tarinya perlu pantas dan kelihatan sedikit lincah," ujar Stephen yang menerima tawaran Hans sejak setahun yang lalu sebaik sahaja Hans menyuarakan hasrat untuk menerbitkan sebuah teater muzikal.
Berbekalkan pengalaman sewaktu berada di London dan pernah terlibat dalam pementasan Bombay Dreams di West End, Stephen menggunakan kelebihan itu untuk mencurahkan ilmu kepada pelakon dan ensemble.
"Untuk memberi tunjuk ajar kepada pelakon dan penyanyi yang terlibat memang tiada masalah kerana mereka sudah ada pengalaman yang merupakan kelebihan kepada mereka.
"Kadang-kala masalah timbul kepada mereka yang baru hendak berjinak-jinak atau pertama kali terlibat dalam sebuah pementasan teater yang memerlukan latihan berulang-kali.
"Saya anggap itu sebagai satu cabaran dan pastinya, saya perlu bertegas dengan mereka kerana saya mahukan yang terbaik untuk pementasan ini," ujar Stephen yang akan muncul dengan filem Merong Mahawangsa tahun depan.
Tidak hanya sebagai seorang koreografer, Stephen juga turut bertindak sebagai guru vokal dan membimbing untuk melontarkan vokal mereka.
Malah, dia turut memuji Vanidah dan Adibah yang pada hematnya memiliki suara dan bakat lakonan semula jadi.
"Dalam aspek lain, saya juga tidak boleh menjadikan nyanyian mereka kedengaran terlalu pop kerana ini adalah pementasan muzikal," ujarnya ringkas.
Sumber:Utusan Online
No comments:
Post a Comment
Komen di sini