Sumber : Utusan.com.my
Gadis Melayu 2 ada muka kemelayuan
|
|
DALAM bidang yang disinari kilauan glamor, kerjaya seperti model, pengacara, pelakon, penyanyi dan termasuklah juga personaliti televisyen (TV) biasanya mengutamakan serta menampilkan rupa paras personaliti yang menawan.
Selain itu, wajah-wajah kacukan terutamanya antara Melayu dan Barat juga sering menjadi tumpuan serta diketengahkan dalam bidang-bidang tersebut di mana ia secara tidak langsung sering mengetepikan bakat anak-anak tempatan.
Walaubagaimanapun, stesen TV9 menerusi rancangan terbitan mereka, Gadis Melayu bukan sahaja lebih mengutamakan peserta berwajah kemelayuan tetapi juga mempunyai kecerdasan minda dan stamina tinggi.
Menurut Penerbit Gadis Melayu musim kedua, Shukri Ibrahim, pertandingan itu yang kini sedang ditayangkan di TV9 amat mementingkan ciri-ciri kemelayuan ke atas para pesertanya sebagai salah satu identitinya yang tersendiri.
“Keutamaan kami ialah kepada para peserta yang mempunyai wajah Melayu sesuai dengan nama rancangan ini iaitu Gadis Melayu. Boleh dikatakan semua wajah peserta yang diketengahkan dalam pertandingan ini ada unsur kemelayuannya.
“Sebagai contohnya, Syafika salah seorang peserta Gadis Melayu dikatakan memiliki raut wajah gadis Melayu yang klasik,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi bersama para peserta pertandingan itu baru-baru ini.
Jelas Shukri, Gadis Melayu bukan sahaja menitikberatkan raut wajah kemelayuan tetapi pertandingan itu juga akan memastikan agar setiap pesertanya mengetahui latar budaya bangsa mereka.
Ia katanya, sebagai salah satu cara TV9 menerapkan unsur-unsur seni dan warisan budaya Melayu menerusi para peserta Gadis Melayu supaya ia dapat disebarluaskan kepada penonton pertandingan tersebut.
“Sama seperti tahun lalu, kami akan memastikan semua peserta Gadis Melayu mengetahui sedikit sebanyak tentang adat dan budaya masyarakat Melayu. Misalnya, mereka harus tahu tentang rempah ratus atau masakan tradisional Melayu.
“Pendekatan itu kami mulakan sewaktu sesi uji bakat lagi supaya segala paparan yang kami tonjolkan akan benar-benar menggambarkan tentang gadis Melayu yang tahu tentang budaya mereka sendiri,” ujarnya.
Tambah Shukri, selain menerapkan tentang adat, budaya dan kesenian Melayu, para peserta Gadis Melayu turut didedahkan dengan pelbagai aktiviti-aktiviti lasak yang mampu menguji tahap fizikal dan stamina mereka.
Semua itu jelasnya, bagi menyeimbangi antara nilai-nilai kesopanan dengan tahap keyakinan diri sebagai persiapan buat para peserta pertandingan itu berdepan dengan pelbagai cabaran yang akan mereka hadapi kelak.
“Dalam soal ini, kami meletakan elemen pengetahuan, kesopanan dan kekentalan fizikal serta mental 50 - 50 atau pun sama rata kerana kedua-duanya saling membantu bagi meletakkan mereka sebagai gadis Melayu zaman ini.
“Sebab itu jangan fikir gadis Melayu itu terlalu lembut atau pingitan tetapi mereka juga sebenarnya sama seperti gadis-gadis bangsa lain yang juga mempunyai taraf serta daya juang yang tinggi dalam kehidupan,” ulasnya.
Shukri tidak menafikan para peserta Gadis Melayu mempunyai banyak peluang yang cerah dalam kerjaya masing-masing pada masa depan berdasarkan pengalaman yang mereka tempuhi dalam pertandingan itu.
Antaranya menjadi pengacara dalam rancangan-rancangan terbitan TV9 ataupun syarikat-syarikat di bawah naungan Media Prima Berhad sama ada secara sepenuh masa mahupun kontrak.
“Biasanya, pemenang Gadis Melayu akan mengikat kontrak selama tiga bulan dengan TV9 selepas itu terpulanglah kepada tawaran seterusnya di mana ia atas pilihan mereka sendiri.
“Salah seorang peserta Gadis Melayu musim pertama iaitu Husna misalnya, kini telah diambil bekerja sebagai kakitangan di Media Prima Berhad ekoran pendedahan yang diraihnya menerusi pertandingan ini,” jelasnya lagi.
Sementara itu, kebanyakan peserta Gadis Melayu 2 berasa teruja untuk meneruskan persaingan mereka di mana tujuh peserta itu akan meneruskan saingan mereka sebelum pertandingan akhir diadakan pada November ini.
Mereka terdiri daripada Nadiah Adrianna Mohd Akbal, Shazfinas Hashim, Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin, Hafiza Bustanul Ariffin, Rahimah Ibrohim, Putri Noor Nawal Ramlan dan Robaeha Ramza Ramli.
Hits sempat menemubual sebahagian daripada finalis Gadis Melayu 2 bagi berkongsi pengalaman mereka sepanjang bersaing dalam pertandingan TV realiti tersebut.
Fiqa ambil cuti
Kebanyakan peserta Gadis Melayu 2 bukan calang-calang kerana selain memiliki personaliti yang menarik mereka juga mempunyai latar pendidikan yang tinggi termasuklah Fiqa.
Gadis berusia 20 ini merupakan pelajar bidang Sains Mikrobiologi di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor yang pada masa sama turut meminati dunia penyiaran.
Sebab itu tidak hairanlah pemilik nama sebenar Siti Nursyafiqa Amirol Melvin ini sanggup mengambil cuti belajar sementara bagi mencuba nasib dalam pertandingan pencarian gadis Melayu sebagai personaliti pelapis dalam dunia penyiaran.
“Saya sepatutnya menyambung pelajaran dalam bidang itu dalam tahun kedua tetapi kerana minat, saya tangguhkannya buat sementara waktu. Kalau tidak kerana pertandingan ini pengajian saya akan berakhir pada 2011.
“Saya tidak kesal berbuat begitu kerana melalui program ini saya banyak menimba pengalaman baru antaranya ia sedikit sebanyak telah membina keyakinan dalam diri saya untuk berdepan dengan cabaran pada masa depan,” katanya.
Gadis berasal dari Parit Buntar, Perak ini misalnya melakukan aktiviti-aktiviti lasak seperti memandu kereta lumba di mana rasa keterujaan itu menambahkan lagi keberanian dan keyakinan dalam dirinya.
Nadia terapkan sifat qana'ah
Bagi gadis kelahiran Kota Kinabalu, Sabah, Nadia Adrianna Mohd Ikbal, Gadis Melayu 2 banyak mengajarnya untuk menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya.
Nadia yang secara jujur mengakui sebelum ini dia agak boros, tetapi selepas melalui hari-hari sebelumnya di dalam Gadis Melayu 2 membuatkan dia berasa lebih menginsafi tentang sikapnya itu.
Antara intipati yang diraihnya dalam membentuk sahsiah diri itu ialah menerusi beberapa program yang diselitkan dalam pertandingan TV realiti itu yang banyak memberi kesan terhadap dirinya.
“Dalam Gadis Melayu 2, ada seorang ustazah yang datang ke rumah penginapan kami dan memberi ceramah di mana pada masa sama mengajar kami lebih mendalam tentang ilmu agama Islam.
”Melalui ceramah itu, dia banyak memberi kami kesedaran supaya kami semua lebih menghargai rezeki yang diberikan dan mengamalkan sifat qana'ah,” ujar model sambilan berusia 23 tahun dalam nada bersyukur.
Tambah Nadia, antara pengalaman menarik yang dilaluinya ialah ketika tugasan memasak masakan Jawa di mana dia perlu mencari sendiri ulam cikra cikri di sebuah kebun dan menangkap ikan keli sendiri bagi menyelesaikan tugasan itu.
Finas lebih berkeyakinan
Bagi jurulatih meluncur ais, Shazfinas Hashim, Gadis Melayu 2 banyak mengajarnya untuk menjadi seorang yang boleh berdikari dan lebih berkeyakinan tinggi dalam meniti cabaran-cabaran hidup.
Finas yang tidak pernah berenggang dengan keluarganya sejak dari kecil mengakui dia menangis ketika berpisah dengan keluarganya kerana menyertai rancangan ini.
Namun, pengalaman dalam rancangan ini mengajarnya untuk menjadi lebih kuat dan berkeyakinan tinggi walaupun terpaksa berjauhan dari keluarganya.
Malah, dia tidak menafikan tugasan-tugasan yang dilakukannya dalam Gadis Melayu 2 banyak merubah sikap dan keyakinan dalam dirinya.
“Contohnya, tugasan menjual lukisan batik mengajar saya untuk lebih berani bercakap dengan orang ramai kerana sebelum ini saya seorang yang pemalu,” ujar Finas. yang kini berusia 25 tahun.
Putri tidak ‘ganas’ lagi
Sementara itu, bagi Putri Noor Nawal Ramlan pula, dia turut melalui transformasi yang agak besar pada dirinya sepanjang berada di dalam rancangan Gadis Melayu 2 ini.
Menurut Putri, jika sebelum ini dia boleh dikategorikan bersifat agak kasar kerana membesar bersama tiga orang adik-beradik lelaki, namun dia sekarang lebih lemah-lembut dan bersopan-santun.
”Sebelum ini, saya memang lasak, kasar dan lantang. Tetapi emak saya sedar perubahan saya menjadi seorang yang sedikit berbeza dan dia seronok.
”Bukanlah kalau tak masuk rancangan sebegini kita tidak akan berubah, tetapi rancangan ini membuatkan saya sedar lebih cepat.
“Saya akui gelaran ikon Gadis Melayu 2 adalah sesuatu yang berat untuk digalas oleh tetapi kami sudah asalkan hati ikhlas dan atas tujuan yang baik, gelaran itu pasti boleh digalas dengan sebaik mungkin,” kata pemilik Diploma Senireka Grafik Kolej PTPL, Shah Alam, Selangor, ini lagi.
No comments:
Post a Comment
Komen di sini