PLEASE WATCH THIS ! Thank You.

Siri Kanak-kanak Geng Budak Sekolah

Legasi baru GBS

Barisan pelakon baru Geng Bas Sekolah: Amir, Denyse, Izz Irfan, Hariharan, Asrul dan Alya Sabrina.

SETELAH berjaya menarik minat ramai penonton, siri kanak-kanak Geng Bas Sekolah (GBS) yang bersiaran sejak dua tahun lalu di Astro Ceria (saluran 611 Astro) kini kembali untuk musim yang ketiga.

Sebagai salah satu daripada rancangan yang paling mendapat perhatian ramai di saluran itu, tentu sahaja pihak Astro tidak teragak-agak menyambung penyiaran GBS untuk musim kali ini.

Siri yang cukup sinonim dengan saluran kanak-kanak itu bersiaran setiap Jumaat pukul 2 petang bermula 25 September lalu.

Siaran ulangan pula adalah pada setiap hari Ahad pukul 11.30 pagi bermula 27 September lalu.

Berbeza dengan dua musim lalu, kali ini apa yang menjadi tarikan utamanya ialah legasi baru GBS yang menampilkan muka-muka baru yang bijak dan cukup keletah dalam lakonan.

Mereka ialah Muhammad Izz Irfan Nazuadi, 11, (Fendi); Amir Johar Nadim, 8, (Hafiz); Alya Sabrina Jamsari, 10, (Nora); Hariharan a/l Shanmuganathan, 11, (Vijay) dan Wong Danyse, 10, sebagai Emily.

Turut mengalami perubahan ialah karakter si pemandu bas yang suka berkhayal serta sering memasang impian untuk menjadi pemuzik, Abang Reza lakonan bintang Raja Lawak, Asrul Zaidi Jamaluddin atau Asrul.

Seperti dua musim lalu, kanak-kanak yang dipilih menyertai siri GBS cukup bijak dan keletah berbicara. Berusia antara lapan ke 11 tahun, masing-masing mempunyai bakat lakonan yang tersendiri.

Pertama kali digandingkan, kelima-lima mereka sependapat cukup teruja beraksi di hadapan kamera. Malah, masing-masing rancak bercerita pengalaman sendiri apabila mula menjadi perhatian rakan-rakan di sekolah.

Alya Sabrina pada pertemuan itu memberitahu, biarpun pada peringkat awal dia sukar menerima sorakan daripada rakan-rakan, namun, lama-kelamaan dia sedar itulah hakikat yang perlu ditempuhi setelah menjadi orang yang dikenali.

Watak Alya sebagai Nora, berusia 11 tahun merupakan seorang pengawas sekolah yang amat berdisiplin dan mematuhi undang-undang. Dia seorang yang gemar mengumpul barang-barang termasuklah setem dan berus gigi. Nora juga merupakan kakak kepada Hafiz.

Bagi Muhammad Izz Irfan, GBS bukanlah pengalaman pertamanya di hadapan kamera kerana sebelum ini dia pernah terlibat dalam beberapa program televisyen di Astro termasuk Macam Macam Aznil dan Gerak Geri Gasing.

"Saya melakonkan watak ketua kepada GBS. Apa yang menyeronokkan ialah selain dapat masuk TV saya dapat pengalaman berjumpa rakan-rakan baru," katanya.

Watak Fendi merupakan kapten pasukan bola sepak yang berani dan bijak. Dia juga popular di kalangan rakan-rakan sekolah yang lain kerana sikapnya yang peramah, setia kawan dan mempunyai daya kepimpinan semulajadi.

Berbanding rakan-rakannya yang lain, Hariharan sebelum ini berpengalaman dalam bidang lakonan, malah pernah terlibat dalam sebuah filem Tamil tempatan, Senthil Vel Kakka.

Hariharan memegang watak Vijay, seorang ulat buku dan celik IT. Dia juga merupakan pengawas perpustakaan di sekolah yang amat mementingkan keselamatan.

Si kecil, Amir Johar pula memberitahu inilah pengalaman pertamanya dalam bidang lakonan. Mengakui bosan duduk di rumah, berlakon umpama aktiviti sampingan yang mampu mengisi masa lapangnya.

Amir memegang watak sebagai Hafiz, budak lelaki berusia 8 tahun yang rambutnya sering kelihatan kusut masai. Kenakalannya juga sering membuatkan dirinya terjerumus ke dalam kancah masalah.

Denyse yang berasal dari Subang Jaya mengakui bahawa meminati bidang lakonan sejak kecil, malah kerana mendapat sokongan penuh daripada keluarganya dia memberanikan diri menjadi pelakon GBS.

Karakter Denyse dalam GBS ialah sebagai Emily seorang kanak-kanak yang baik hati dan kadang-kala sedikit keliru. Ayahnya bekerja sebagai kontraktor di syarikat milik keluarganya yang mahir dengan seni Taichi.

Asrul bakal idola?

Karakter lucu dan bersahaja sudah cukup sinonim dengan ahli kumpulan Charm iaitu Asrul. Mungkin kerana karakter lucu itulah membuatkan dia cukup mudah digandingkan dengan sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak.

"Saya memang suka pada kanak-kanak sebab telatah mereka mengingatkan saya terhadap zaman kanak-kanak saya dahulu.

"Berlakon cerita kanak-kanak sebegini apa sahaja yang kita lakukan akan menjadi ikutan oleh mereka kerana apa sahaja yang kita lakukan di televisyen pasti akan menjadi tanda tanya kepada mereka.

"Sebab itu watak sebagai Abang Reza dalam GBS ini saya rasa sesuai untuk saya," katanya.

Sungguhpun mudah mesra, namun Asrul mengakui kerjasama dengan kanak-kanak tidaklah semudah yang di sangka.

"Bayangkan pada hari pertama di set GBS, kami menjalani penggambaran dari pukul 7 pagi hingga 7 petang, secara tidak langsung memang terasa penat juga.

"Untuk watak Hafiz sahaja sudah mengambil masa 20 kali take. Apa yang menariknya kanak-kanak ini mereka pula yang tolong jaga dialog dan lakonan kita.

"Apapun saya akui mereka memang berbakat. Cuma biasalah, mereka cepat letih. Jika pagi seronok tetapi bila sampai tengah hari mereka dah mula letih. Jadi, saya kena 'masuk' dalam diri mereka supaya penggambaran dapat dilakukan dengan lancar," kata Asrul lagi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah pada sidang media siri tersebut yang berlangsung di Cineleisure, Damansara baru-baru ini memberitahu pihaknya tidak pernah jemu dalam membekalkan pelbagai program berkualiti yang mampu memberi pengajaran kepada golongan cilik.

Malah, pihaknya turut berbangga kerana kali ini perubahan ketara dilakukan dengan memperkenalkan wajah-wajah baru yang bakal menjadi 'idola' baru kepada kanak-kanak.

Pihaknya juga menerima pelbagai maklum balas positif susulan daripada penyiaran episod pertama GBS3 pada minggu pertama Aidilfitri lalu.

"Sebagai salah satu program yang mendapat sambutan ramai dimana rating melebihi 200,000 iaitu hampir menyamai program untuk golongan dewasa, kami prihatin dalam memilih barisan pelakon baru untuk musim kali ini.

"Tidak dinafikan kejayaan GBS bergantung kepada pelakon dan juga jalan cerita. Sebab itu untuk kali ini kami cuba pastikan agar jalan ceritanya menarik serta penuh dengan aksi.

"GBS yang menepati selera khusus buat kanak-kanak sememangnya tepat kerana selain menghiburkan pelbagai mesej antaranya mengenai kehidupan juga diselitkan sebagai pengajaran yang boleh dijadikan panduan dan tauladan kepada kanak-kanak," katanya.

Tambah menarik, GBS kali ini diwujudkan sebuah kumpulan baru yang gemar membuli dan mengganggu ketenteraman GBS.

Ini berbeza dengan dua musim lalu di mana kumpulan yang gemar membuli hanya diwujudkan dalam beberapa episod sahaja.

Dari segi penceritaan, GBS musim kali ini menjanjikan pengalaman yang lebih menarik dan dipadatkan dengan pelbagai aksi lucu yang segar lagi bersahaja.
Siri Kanak-kanak Geng Budak Sekolah

No comments:

Post a Comment

Komen di sini

Kongsi post yang anda SUKA ini di FACEBOOK & media sosial lain dengan rakan anda.







Arkib