KONSERT DOUBLE TROUBLE BERULANG LAGI

Selepas konsert dua gergasi rock negara, Search dan Wings - Double Trouble (DT) di Bukit Kiara pada Mei lalu mendapat sambutan hangat daripada 20,000, penonton, kita mereka merancang satu lagi konsert yang sama.

Namun destinasi kali ialah selatan tanah air iaitu di di Stadium Larkin, Johor Bahru pada 5 Jun ini.

Ini sebagai memberi peluang kepada para peminat mereka di selatan tanah air yang tidak berkesempatan menonton aksi mereka di Bukit Kiara lalu.

Dengan harga tiket hanya RM70, sasaran mereka ialah 10,000 penonton yang bakal memenuhi ruang stadium yang berkapasiti 50,000 penonton itu.

Amy yang mewakili kumpulannya Search pada sidang akhbar yang berlangsung di Hotel Royale Bintang, The Curve, Damansara baru-baru ini memberitahu kepadatan peminat yang hadir pada konsert DT yang berlangsung di Bukit Kiara membuatkan ribuan peminat lagi yang terpaksa berdepan kehampaan apabila gagal memasuki arena.

"Justeru, saya harapkan peminat yang tidak dapat menonton serta yang tidak berkesempatan datang ke Bukit Kiara dapat datang ke Larkin nanti.

"Apa yang boleh kami katakan, akan ada sedikit perubahan dari segi lagu serta aksi persembahan," katanya.

Menyokong apa yang dikatakan Amy, Awie yang mewakili kumpulannya, Wings menambah penganjur konsert tersebut iaitu Adepnet Sdn. Bhd., telah berjaya melakar sejarah pertunjukan pentas tahun ini apabila berjaya membawa kejayaan untuk anak tempatan.

Bukan itu sahaja, tajaan untuk konsert tersebut kali ini lebih banyak berbanding tajaan yang mereka terima sebelum ini.

"Penganjur sudah melakukan yang terbaik. Insya-Allah kami akan perbaiki persembahan kami untuk peminat-peminat di selatan nanti," kata Awie.

Bercerita tentang tajaan, jelas Amy, biarpun tidak memperoleh tajaan yang besar namun, mereka menaruh kepercayaan yang kuat terhadap pihak penganjur dengan promosi yang dijalankan.

"Kami bersyukur dengan apa yang ada. Keluhan masih ada kerana tiada sponsor yang besar namun, kami telah buktikan masih ada pengikut.

"Selepas ini, kalau ada peluang dan permintaan kami tunggu juga untuk ke Sabah dan Sarawak," tambah Awie yang mengakui DT mendapat permintaan daripada peminat di Sabah dan Singapura.

Dalam perancangan, DT bakal singgah ke beberapa lagi destinasi persembahan iaitu di Pulau Pinang (Julai), Kuantan (Ogos) dan Stadium Merdeka (Februari 2011).

Masih lagi belum menentukan lagu-lagu yang bakal dikolaborasikan bersama, jelas Amy dan Awie, apa yang diharapkan selepas tamat sesi jelajah Double Trouble mereka berhasrat menghasilkan single terbaru gabungan mereka.

"Keinginan memang meluap-luap sama ada menghasilkan single mahupun merakamkan semula album Double Trouble.

"Namun, buat masa ini biarlah kami tumpu pada persembahan dahulu. Biar kami lihat bagaimana keterujaan peminat terhadap gabungan kami pada konsert nanti," kata Awie.

Konsert tersebut sebenarnya mengambil daripada inspirasi album kolaborasi Search dan Wings iaitu Double Trouble yang diterbitkan pada tahun 1992 dan mencecah jualan melebihi 180,000 unit.

Kepada yang berminat menyaksikan konsert tersebut, tiket-tiket boleh didapati di kaunter tiket Stadium Larkin; Music Valley, Angsana Johor Bahru; Viva Sport Sdn. Bhd., Pertama Complex serta Diva Karaoke Club Bistro, Taman Suria dan Bandar Seri Alam, Johor Bahru.

Atau hubungi Ticket2u.call center di talian 03-41498600 dan Istana Budaya Box office (03-40265558). Juga boleh dilayari www.ticket2u.biz untuk keterangan lanjut.

Sumber: Utusan Online

Tags: Double Trouble, 20000 penonton, Double Trouble 2, Amy Search, Awie Wings, Konsert hebat, Konsert Wings, Konsert Search

No comments:

Post a Comment

Komen di sini

Kongsi post yang anda SUKA ini di FACEBOOK & media sosial lain dengan rakan anda.







Arkib