Filem Avatar menang anugerah Filem Drama Terbaik di Golden Globe kelmarin.
HUJAN renyai yang membasahi bumi Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada lewat petang Ahad lalu (hari Isnin waktu Malaysia) seperti memberi petanda akan ada sejarah manis akan terlakar pada hari itu.
Masakan tidak, selama 66 tahun anugerah Golden Globe berlangsung, rasanya belum pernah lagi acara tersebut berlangsung dalam suasana hujan.
Ternyata telahan itu langsung tidak meleset apabila keputusan Golden Globe Ke-67 memperlihatkan kejutan dan tidak kurang kejayaan manis buat para pemenangnya.
Filem bajet besar, Avatar mengejutkan ramai pihak apabila diumumkan sebagai Filem Drama Terbaik sekali gus menewaskan pencabar terdekatnya, The Hurt Locker dan Up In The Air.
Dengan kemenangan itu, ia sekali gus memberi gambaran bahawa filem tersebut merupakan antara calon utama yang dilihat mampu meraih kejayaan besar pada Oscar nanti.
Memang jarang benar untuk melihat sebuah filem bercorak sains fiksyen atau fantasi diangkat sebagai Filem Terbaik pada Golden Globe.
Jika dilihat pada senarai filem yang pernah memenangi kategori berkenaan sebelum ini, semuanya merupakan filem bercorak drama yang dihasilkan dengan bajet rendah tetapi memiliki nilai-nilai estetika yang cukup tinggi.
Adakah kemenangan Avatar harus dipertikaikan?
Barangkali tidak perlu kerana Avatar telah membawa jauh serta berjaya meneroka pendekatan baru dalam pembikinan filem era moden hari ini oleh pengarahnya, James Cameron.
Maka dengan itu, maka layak sekali James memenangi kategori Pengarah Filem Terbaik sekali gus mengulangi kejayaan filem Titanic, 12 tahun lalu pada acara yang sama.
"Inilah kerja terbaik di dunia. Apa yang kami lakukan adalah menghasilkan hiburan untuk audiens secara global dan itulah makna sebenar Golden Globe ini," kata James kepada hadirin yang memenuhi ruang dewan Ballroom di Hotel Beverly Hilton, Beverly Hills, AS lokasi berlangsungnya Golden Globe.
Sejak mula ditayangkan pada bulan Disember lalu, Avatar telah mencipta rekod yang cukup mengagumkan apabila setakat ini berjaya mencatatkan kutipan tiket sebanyak AS$1.6 billion (RM5.28 billion) di seluruh dunia.
Para pemerhati dunia hiburan melihat kemenangan Avatar itu mampu meningkatkan lagi kutipan tiket filem berkenaan dan berupaya untuk menyaingi mahupun setanding dengan kutipan filem Titanic yang berjumlah AS$1.8 billion.
Dengan angka itu, ia menjadikan James satu-satunya pengarah filem di dunia yang memiliki dua buah filem yang telah mencatatkan penjualan tiket melebihi AS$1 billion.
Pada masa yang sama, pengarah berusia 55 tahun itu melahirkan rasa terkejutnya apabila dinobatkan sebagai Pengarah Filem Terbaik kerana dia menyangka bekas isterinya, Kathryn Bigelow yang akan membawa pulang gelaran itu.
Kathryn dicalonkan menerusi filem The Hurt Locker yang mengisahkan perang Iraq dari kaca mara seorang askar AS yang menyertai perang tersebut.
"Saya memang benar-benar tidak bersedia untuk naik ke pentas dan menggenggam trofi ini kerana menyangkakan Kathryn yang akan memenanginya kerana dia memang layak.
"Apa-apa pun, saya bersyukur dan berterima kasih dengan kemenangan ini," katanya sewaktu menyampaikan ucapannya yang sebahagiannya ditutur dalam bahasa Na'vi yang merupakan lingua franca kaum berkenaan dalam filem Avatar.
Selain kejutan Avatar, malam Golden Globe turut memperlihatkan kehebatan pelakon senior, Jeff Bridges yang akhirnya membawa pulang trofi Golden Globe pertamanya.
Jeff pernah dicalonkan sebanyak tiga kali pada tiga dekad yang berbeza namun tidak pernah memenanginya dan kebolehannya juga sering kali dipandang rendah.
Lalu, apabila Jeff diumumkan sebagai pemenang kategori Pelakon Filem Lelaki Drama Terbaik menerusi filem Crazy Heart, audiens berdiri dan memberikan tepuk sanjungan kepadanya.
"Anda (juri) telah menghapuskan status saya sebagai seorang pelakon yang sering dipandang sepi.
"Anugerah ini juga saya tujukan khas kepada mendiang bapa saya, Lloyd Bridges yang sentiasa menyokong saya," ucap Jeff dalam nada terharu sewaktu menyampaikan ucapannya yang turut didedikasikan kepada isteri dan keluarganya.
Dengan kemenangan itu, Jeff kini diletakkan sebagai calon utama untuk mengulangi kejayaan sama pada Oscar yang akan berlangsung pada 7 Mac depan.
Kemenangan Jeff sekali gus melenyapkan impian George Clooney yang disebut-sebut sejak awal akan mengungguli gelaran itu berikutan lakonan cemerlangnya menerusi filem Up In The Air.
Tiga aktor lain yang berentap untuk kategori Pelakon Filem Lelaki Lelaki Drama Terbaik adalah Colin Firth bagi filem A Single Man, Morgan Freeman (Invictus) dan Tobey Maguire (Brothers).
Seperti mana Jeff, Golden Globe kali ini juga melakar kemanisan kepada aktres popular, Sandra Bullock yang turut memenangi anugerah Golden Globe pertamanya.
Bukan sekadar memenangi anugerah pertamanya, tetapi ia juga kali pertama Sandra dicalonkan dalam kategori drama.
Sebelum ini, namanya pernah tersangkut untuk kategori Pelakon Wanita Filem Komedi atau Muzikal sebanyak dua kali dan sekali lagi tahun ini, untuk filem The Proposal.
Ternyata watak Leigh Anne Tuohy yang dibawanya dalam filem The Blind Side benar-benar membawa tuah kepada anak kelahiran Arlington, Virginia ini.
Sandra menyifatkan kejayaan filem The Blind Side adalah kerana Michael Oher, seorang pemain American football yang bermain untuk pasukan Baltimore Ravens untuk NFL iaitu kisahnya diangkat sebagai subjek utama filem tersebut.
"Terima kasih kerana meletakkan saya dalam kategori hebat ini bersama empat aktres yang cukup mengagumkan.
"Memetik kata-kata Michael sebelum ini iaitu "saya mungkin bukan antara yang berbakat tetapi saya telah diberikan peluang itu."
"Dan itulah gambaran diri saya sendiri sebagai seorang yang telah banyak diberikan peluang," ujarnya yang memegang watak sebagai seorang wanita kaya yang mengambil Michael sebagai anak angkat.
Kemenangan Sandra sudah diduga sejak awal filem tersebut ditayangkan kerana dia telah memberikan lakonan terbaiknya sepanjang dua dekad bergelar aktres.
Malah, The Blind Side juga dilihat mampu memberikan Sandra pencalonan Oscar pertamanya kelak.
Aktres veteran berkaliber, Meryl Streep turut diiktiraf kali ini buat kali kelima dengan memenangi kategori Pelakon Wanita Filem Komedi atau Muzikal menerusi wataknya sebagai seorang tukang masak tersohor, Julia Child dalam filem Julie & Julia.
Filem Nine yang disebut-sebut akan merangkul kategori Filem Komedi atau Muzikal Terbaik pada malam itu juga terpaksa berputih mata apabila pulang dengan tangan kosong di sebalik lima pencalonan yang diterimanya.
Sementara itu, filem The Hangover yang memenangi kategori Filem Komedi atau Muzikal Terbaik mengejutkan ramai memandangkan ia bukanlah filem pilihan utama untuk memenangi kategori tersebut.
Apatah lagi, untuk sebuah filem komedi yang dapat diterima secara meluas oleh semua golongan masyarakat acap kali dipandang sepi setiap kali tibanya musim anugerah di Hollywood.
"Saya hanya mahu mengucapkan terima kasih kepada ibu saya yang memberi restu untuk saya menjadi seorang sutradara apabila dia sedar saya tidak sebijak dua kakak saya yang lain," kata pengarah filem The Hangover, Todd Phillips.
Sutradara tersohor, Martin Scorsese pula menerima anugerah Cecil B. DeMille sebagai mengiktiraf sumbangannya dalam bidang perfileman selama empat dekad.
Seperti yang dijangka, drama bersiri Mad Men berjaya memenangi kategori Siri Televisyen Drama Terbaik untuk tiga tahun berturut-turut dengan menewaskan empat calon lain iaitu Big Love, Dexter, House M.D. dan True Blood.
Sementara itu, kategori Siri Televisyen Komedi atau Muzikal Terbaik pula menjadi milik Glee yang merupakan sebuah siri baru yang telah mencipta fenomena luar biasa apabila ditayangkan tahun lalu.
Apa yang membanggakan, Glee berjaya menewaskan calon kegemaran, 30 Rock dan sebuah lagi siri baru, Modern Family untuk merangkul gelaran itu.
"Siri ini adalah untuk mereka yang pernah berhadapan dengan situasi yang sama ditonjolkan dalam Glee," kata pencipta siri tersebut, Ryan Murphy yang disambut dengan sorakan barisan pelakon-pelakonnya.
Glee yang mula ditayangkan di saluran Star World (saluran 711, Astro) bermula pukul 9 malam ini mencipta rekod luar biasa di AS apabila mencatat jumlah penontonan sebanyak 8.7 juta setiap minggu.