Que Haidar Dan Linda JAsmine Tunjuk Anak

RATU HATI QUE HAIDAR YANG BARU


MEMANG benar kata orang. Proses bersalin merupakan satu perkara yang cukup indah dan menakjubkan biarpun ia sebenarnya lebih terjerumus kepada pertarungan nyawa seorang ibu kepada anaknya.
Bukan itu sahaja, ia juga sebenarnya mahu menunjukkan kepada umat manusia tentang kekuasaan dan keindahan ciptaan Yang Maha Esa kepada kaum Hawa.
Ini sendiri diakui oleh pelakon terkenal tanah air, Que Haidar, 30, apabila terbit rasa keinsafan dalam dirinya sewaktu menyaksikan sendiri kelahiran puteri sulungnya, Tengku Ratu Haidar empat bulan lalu.
Katanya, dia sendiri berfikir dari manakah datang kudratnya untuk menyaksikan proses bersalin itu sedangkan dia seorang yang tidak boleh melihat darah walaupun hanya sekelumit.
Apatah lagi, isterinya, Linda Jasmine Hashim, 37, melahirkan bayi mereka secara pembedahan yang pastinya proses yang cukup menggerunkan!
"Apabila melihat semuanya, barulah saya sedar pengorbanan besar seorang ibu dan harus diakui, kudrat seorang wanita dalam konteks ini cukup kuat.
"Rasanya belum tentu seorang lelaki mampu menjadi kental seperti seorang wanita ketika bersalin," katanya dalam nada bersungguh.
Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar ditemui sewaktu majlis memperkenalkan anak pertamanya itu kepada pihak media di Bora Ombak, Ampang, Selangor, petang Sabtu lalu.
Turut hadir ibu Que, Rahmah Hussein serta ibu bapa Linda, Datuk Murad Hashim dan Datin Kay Hashim selain ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.
Tidak ketinggalan rakan-rakan artis yang hadir bersama pasangan dan keluarga masing-masing seperti Sofia Jane, Eizlan Yusof, Mawi, Adlin Aman Ramlie bersama Emelda Rosmila serta model dan pelakon, Mazin Ameen Siraj.
Tengku Ratu Haidar atau lebih mesra disapa Ratu itu dilahirkan pada 26 Oktober lalu di salah sebuah hospital swasta di ibu negara dengan berat 2.92 kilogram.
Selepas empat bulan, berat bayi comel itu sudah pun mencecah tujuh kilogram dan perkembangan itu benar-benar menggembirakan pasangan suami isteri ini.
Ratu merupakan anak pertama hasil perkahwinan Que dan Linda yang mendirikan rumah tangga pada 14 Februari tahun lalu.
Sebelum ini, Linda menerusi perkahwinan pertamanya dikurniakan dengan seorang anak lelaki, Qalif Khan yang berusia sembilan tahun.
Menyambung bicara, apabila diberi peluang menyaksikan proses kelahiran bayinya itu, barulah dia sedar dan tahu bagaimana ibunya, Rahmah Hussein, 51, melahirkan 10 orang anak.
"Kerana itulah, saya sendiri terfikir bagaimana kes buang emak yang berlaku dalam masyarakat hari ini boleh terjadi sedangkan pengorbanan mereka cukup besar.
"Saya dan Linda akan memastikan Ratu akan diberikan didikan agama dan moral yang lengkap agar dia dapat mengekalkan jati dirinya biarpun dilahirkan dalam arus modenisasi," ujarnya sambil dipersetujui isteri tercinta di sisinya.
Mengenai pemilihan nama anaknya itu, anak kelima daripada 10 beradik ini menjelaskan inspirasi itu datangnya daripada isterinya sendiri.
Berbekalkan kejelitaan serta memiliki perwatakan yang menjelmakan dirinya sebagai seorang ratu membuatkan Que tidak berfikir panjang untuk memilih nama tersebut.
"Lagipun namanya pendek dan senang diingati. Dalam masa yang sama, saya mahu menurunkan dan mengekalkan nama arwah bapa saya di hujung nama Ratu itu.
"Rasanya tidak ramai juga yang menggunakan nama tersebut di negara ini," kata Que sambil ketawa.
Saat ditanya tentang kehidupannya kini, wajah gembiranya sudah cukup menjelaskan segala-galanya.
Kata anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini lagi, dia merasakan dirinya kini semakin sempurna dan lengkap setiap kali mendakap serta berdampingan dengan puterinya itu.
Bukan mahu mendabik dada, tetapi Que memberitahu jika ditakdirkan nyawanya ditarik ketika ini, dia tidak berasa ralat.
"Ini kerana darah dan semangat saya kini mengalir dalam diri Ratu.
"Setiap kali saya melihatnya, saya terbayangkan refleksi wajah saya terpancar di wajah anak saya.
"Alhamdulillah, apa yang penting buat saya dan Linda adalah bayi kami dilahirkan dengan cukup sifat dan sempurna," kata aktor filem Duhai Si Pari-Pari dan Castello ini dalam nada bersyukur.
Dalam masa yang sama, Que juga sempat berkongsi cerita pengalamannya meniti kehidupan sebagai seorang bapa dalam tempoh empat bulan ini.
Penat bukanlah satu isu kata Que, tetapi pengalaman itu sendiri sudah cukup memberikannya signifikan tersendiri dalam dirinya sebagai seorang lelaki dan bapa.
Selama tempoh itu jugalah, dia merehatkan dirinya daripada menerima sebarang tawaran berlakon kerana mahu menumpukan perhatian kepada keluarganya.
Menguji keimanan
"Apatah lagi Linda melahirkan bayi kami secara pembedahan dan proses penyembuhan itu benar-benar menguji keimanan serta kesabaran saya.
"Dengan keadaan Linda yang alah pada sebarang ubat penahan sakit, bayangkan proses itu dilaluinya dengan penuh kesakitan dan saya perlu sentiasa berada di sisinya untuk menenangkannya.
"Dalam masa yang sama, saya perlu menguruskan persekolahan dan aktiviti Qalif. Kemudian, barulah saya kembali ke hospital untuk memantau keadaan isteri saya," cerita Que yang akan memulakan tugasnya sebagai jurulatih drama Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) sedikit masa lagi.
Sementara itu, Linda yang anggun mengenakan kaftan putih pula memberitahu dia benar-benar bersyukur kerana impiannya untuk memiliki anak perempuan dimakbulkan Allah SWT.
Malah, dengan penuh jujur dia mengakui bahawa dia bersedia untuk menimang cahaya mata lagi selepas ini seandainya terus diberikan rezeki berbuat demikian.
"Buat masa ini, anak saya pun dah ada sepasang. Tetapi, saya terima sahaja selepas ini jika Allah mahu memberikan cahaya mata lagi kepada kami.
"Kalau ikutkan, sepatutnya saya perlu memberi masa dua hingga tiga tahun sebelum kelahiran yang seterusnya memandangkan kelahiran saya adalah secara pembedahan.
"Namun, atas nasihat doktor, saya perlu berehat sekurang-kurangnya enam bulan sebelum boleh mengandung lagi.
"Memandangkan usia saya sudah menuju angka 40, maka saya tidak boleh menunggu lama lagi," jelas Linda yang kembali ke gelanggang AF8 sebagai guru tari selepas 'bercuti' setahun.
Tambah Linda lagi, proses kelahiran kali ini semuanya berjalan dengan lancar dan tiada sebarang masalah yang berlaku jika hendak dibandingkan ketika dia melahirkan Qalif sedekad yang lalu.
"Saya memang bersedia dari segala segi terutama sekali mental kerana proses kelahiran kali ini berjalan seperti mana yang saya harapkan," kata pemilik studio tari Linda Jasmine Performing Arts ini lagi.
Sepanjang tempoh berpantang juga, Linda dijaga dengan baik oleh ibu mertuanya selama dua minggu dan menjalani proses berpantang secara tradisional.
Dalam masa yang sama, wanita tinggi lampai ini bersama suaminya sudah pun mempersiapkan pelbagai aspek demi masa anak depan mereka.
"Saya percaya semua ibu bapa akan melakukan benda yang sama untuk anak-anak mereka.
"Malah, kami juga tidak kisah jika anak kami mahu menjejaki langkah seni kami tetapi yang penting adalah pendidikan dan pelajaran yang harus diutamakan," katanya penuh harapan.

 Que Haidar Dan Linda JAsmine Tunjuk Anak

No comments:

Post a Comment

Komen di sini

Kongsi post yang anda SUKA ini di FACEBOOK & media sosial lain dengan rakan anda.







Arkib