Siti Nurhaliza Menang Bintang Paling Popular

Siti Nurhaliza rampas Bintang Paling Popular

Sumber: utusan.com.my

GENTING HIGHLANDS 4 April - Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza (gambar) merampas kembali gelaran Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular 2009 (ABP2009) yang diadakan di sini malam ini.

Dengan kemenangan itu, gelaran tertinggi kini sudah tujuh kali menjadi milik penyanyi jelita itu.

Selain Siti, nama-nama seperti Aizat, Faizal Tahir, Mawi dan penyandang gelaran itu tahun lalu, Nabil disebut-sebut akan memenangi kategori utama tersebut.

Untuk meraih gelaran itu, Siti mendapat undian peminat sebanyak 225, 300 lantas membuktikan popularitinya masih belum kebah.

Sebelum ini, Siti pernah memenangi kategori tersebut selama lima tahun berturut-turut dari tahun 1996 hingga 2001.

Kemudian, gelaran itu berpindah milik kepada Rosyam Nor dan Saiful Apek sebelum Siti memenangi semula pada tahun 2004.

Sejak tahun 2005, ia menjadi milik Mawi selama tiga tahun berturut-turut sebelum Nabil menjulangnya tahun lalu.

Selain trofi, Siti juga membawa pulang hadiah bernilai hampir RM330,000 termasuk sebuah Nissan X-Trail berharga RM130,000, barang kemas, perabot mewah dan pakej penginapan mewah di Hotel Palace of The Golden Horses.

Lebih manis lagi apabila Siti mencipta rekod tersendiri apabila berjaya mempertahankan gelaran Penyanyi Wanita Popular selama 13 tahun berturut-turut.

Sementara itu, Fara Fauzana berjaya mempertahankan gelaran Penyampai Radio Wanita Popular dan Pengacara TV Wanita Popular untuk tiga tahun berturut-turut.

Rakan setugasnya, Faizal Ismail juga mengekalkan kejuaraan buat tahun ketiga menerusi kategori Penyampai Radio Lelaki Popular.

Aizat pula memenangi kategori Penyanyi Lelaki Popular, manakala kategori Penyanyi Duo/Berkumpulan Popular menjadi milik Bunkface.

Gelaran Artis Baru Lelaki dan Wanita Popular dimenangi oleh Black dan Yuna, sementara Artis Komedi Lelaki dan Wanita Popular disandang oleh Nabil dan Noorkhiriah.

ABP2009 turut menobatkan Aznil Nawawi dan Rabbani bagi kategori Pengacara TV Lelaki Popular dan Penyanyi Nasyid Popular.

Pelakon Filem Lelaki dan Wanita Popular masing-masing dimenangi Que Haidar dan Liyana Jasmay manakala Remy Ishak dan Tiz Zaqyah pula membawa pulang gelaran Pelakon TV Lelaki dan Wanita Popular.

ABP2009 turut menyaksikan Datuk Khadijah Ibrahim menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat atas sumbangannya dalam bidang seni.
Siti Nurhaliza Menang Bintang Paling Popular

No comments:

Post a Comment

Komen di sini

Kongsi post yang anda SUKA ini di FACEBOOK & media sosial lain dengan rakan anda.







Arkib