Saingan 2 Kapten

Kelibat dua Kapten

CASILLAS (kanan) dan Buffon bakal mencuri tumpuan pada final Euro 2012 di Stadium Olimpik, Ukraine awal pagi esok.

KIEV, Ukraine - Dua penjaga gol veteran, Iker Casillas dan Gianluigi Buffon bakal mencuri tumpuan pada final Euro 2012 di Stadium Olimpik awal pagi esok.

Selain mengawal pintu gol daripada dibolosi, Casillas dan Buffon turut mempunyai tugas penting selepas masing-masing dilantik menjadi kapten.

Casillas, 31, akan mengetuai skuad La Roja manakala Buffon, 34, memimpin skuad The Azzurri.

Meskipun sudah berada di penghujung karier, kedua-dua pemain ini masih lagi memegang status penjaga gol terbaik di dunia dan menjadi sumber inspirasi barisan generasi muda.

"Gigi (Buffon) adalah seorang pemain yang hebat.

"Dia adalah seorang idola buat kami semua. Dia memulakan karier bola sepak lebih awal. Dia tua tiga tahun daripada saya tetapi dia mencapai kejayaan dengan pantas. Dalam tempoh beberapa tahun, dia sudah menjadi penjaga gol terbaik di dunia.

"Sangat menakjubkan. Meskipun kedudukan penjaga gol terbaik lain sering berubah, dia tetap menjadi yang terbaik. Dia telah meraikan kejayaan yang besar, dia memenangi Piala Dunia 2006, liga Itali beberapa kali, Piala Itali dan Piala Super Itali bersama Juventus.

"Bagi peminat bola sepak di seluruh dunia, dia telah menjadi legenda dan sesuatu yang hebat apabila dia masih lagi bermain.

"Bagi saya, sesuatu yang baik untuk bermain dan menambah kemahiran bersama-sama seorang penjaga gol yang hebat," kata Casillas.

Bagaimanapun, Casillas turut dianggap sebagai penjaga gol yang hebat dan berpengalaman terutamanya selepas membantu Sepanyol memenangi trofi Euro 2008 dan Piala Dunia 2010.

Kemenangan ke atas Itali awal pagi esok bakal menjadikannya sebagai pemain pertama yang mencapai kejayaan 100 peratus bersama pasukan kebangsaan negara itu.

Selain muncul pemain yang paling banyak membuat penampilan dan merangkul anugerah penjaga gol terbaik di dunia sebanyak empat kali dari 2008 hingga 2011, Casillas turut melakar kejayaan bersama Real Madrid termasuk memenangi liga trofi Liga Sepanyol dan dua gelaran Liga Juara-Juara.

Casillas memainkan peranan utama ketika Sepanyol menewaskan Itali pada aksi suku akhir Euro 2008.

Dia menyelamatkan sepakan penalti Antonio Di Natale dan Daniele De Rossi sebelum Cesc Fabregas meledakkan gol kemenangan, sekali gus menamatkan kemarau trofi utama selama 44 tahun. - Agensi

No comments:

Post a Comment

Komen di sini

Kongsi post yang anda SUKA ini di FACEBOOK & media sosial lain dengan rakan anda.







Arkib