Poland Berahsia Temu Russia

Poland rahsiakan ‘ramuan’ sekat Rusia


Penyerang Rusia, Andrey Arshavin (tengah) berlatih bersama rakan sepasukan di Stadium Victoria, kelmarin menjelang pertemuan menentang Poland, esok. - AFP
WARSAW - Selepas melihat kehebatan Rusia membenam Republik Czech 4-1 dalam aksi pembukaan Euro 2012, minggu lalu, tuan rumah bersama, Poland cuba menyembunyikan taktik yang bakal digunakan apabila menentang pasukan itu dalam saingan kedua Kumpulan A, hari ini.

Jurulatih Poland, Franciszek Smuda, yang menganggap Rusia sebagai pilihan utama dalam Kumpulan A dijangka melakukan beberapa perubahan daripada skuad yang seri 1-1 dengan Greece pada aksi pembukaan, Jumaat lalu.

“Ia mungkin... (melakukan perubahan),’’ kata Pengarah Media Pasukan dan bekas pertahanan Poland, Tomasz Rzasa ketika media berulang kali mengasaknya mengenai barisan kemungkinan yang bakal diturunkan pasukan itu apabila bertemu Rusia.

Terdapat spekulasi, Smuda mungkin menurunkan dua pemain tengah yang beraksi di Turki, Adrian Mierzejewski (Samsunspor) dan Kamil Grosicki (Sivasspor) untuk menggantikan tonggak Bordeaux, Ludovic Obraniak dan Maciej Rybus, yang lebih biasa dengan corak bola sepak Rusia kerana beraksi bersama kelab negara itu, Terek Grozny.

Bagaimanapun Smuda dan rakan sejawatnya di Rusia, Dick Advocaat masing-masing meletakkan harapan tinggi kepada jentera serangan untuk membawa kemenangan buat pasukan, kerana masing-masing memiliki reputasi yang besar.

Penyerang Poland, Robert Lewandowski, yang masih segar dengan kejayaan membantu Borussia Dortmund muncul juara Liga Jerman buat kali kedua berturut-turut menjadi sandaran Smuda, malah Lewandowski yang ketika ini dikaitkan dengan gergasi Liga Perdana England, Manchester United turut menjaringkan gol pasukannya ketika mengikat Greece 1-1.

Rusia pula bergantung kepada persembahan hebat penyerang muda CSKA Moscow berusia 21 tahun, Alan Dzagoev, wira mereka ketika membenam Czech.

“Kami tahu apa yang perlu dilakukan, jadi kami tahu bagaimana hendak memperbaiki kesilapan. Anda boleh menjangkakan satu perlawanan yang sama sekali berbeza daripada kami esok,’’ tegas Lewandowski.

Bagi Rusia, memandang lawan mereka kali ini adalah pasukan tuan rumah, jurulatihnya, Advocaat menolak sebarang kemungkinan untuk mengulangi jaringan besar seperti yang dilakukan ke atas Czech.

“Saya tidak nampak sebarang alasan, bertemu Poland adalah mudah.

“Kami akan bertemu sebuah pasukan yang sama sekali memperagakan corak bola sepak berbeza. Saya harap kami dapat mengekalkan rentak permainan ketika bertemu Czech tetapi sudah tentu, perlawanan selepas ini jauh lebih getir,’’ kata Advocaat.

Poland akan beraksi tanpa penjaga gol utama, Wojciech Szczesny, yang digantung perlawanan kerana dilayangkan kad merah. Tempatnya akan diisi oleh Przemyslaw Tyton, wira yang menyelamatkan sepakan penalti ketika menentang Greece. - AFP

No comments:

Post a Comment

Komen di sini

Kongsi post yang anda SUKA ini di FACEBOOK & media sosial lain dengan rakan anda.







Arkib