Remy Twitter Tiz Layan Dia Seperti Sampah

Perang siber Remy, Tiz

 

PERCINTAAN antara Remy Ishak dengan Tiz Zaqyah sentiasa dilanda badai.

DRAMA hubungan cinta aktor Remy Ishak dan aktres Tiz Zaqyah kembali lagi menjadi perhatian peminat.

Baru-baru ini, Remy yang kini hangat dengan filem Jiwa Taiko itu menulis di akaun Twitter mengenai kekecewaannya terhadap kekasihnya yang tidak datang melawatnya meskipun dia dimasukkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang kerana paru-parunya dijangkiti virus.

Remy menulis: "Masuk hospital, demam panas. Call girlfriend tetapi dapat layanan macam sampah. Nasib badan."

Dalam akaun Twitter Remy juga, dia berharap agar mendapat perhatian dan kata-kata semangat tetapi tidak dilayan Tiz dengan alasan letih.

Katanya lagi, dia sudah lama bersabar dengan kerenah Tiz. Tulisan terakhir Remy tentang kekecewaannya itu, dia memberitahu, Tiz sedar tentang luahan perasaannya di Twitter dan kekasihnya itu mengucapkan selamat tinggal. Adakah hubungan cinta mereka sudah berakhir?

Tidak terhenti di situ sahaja, Tiz membuat kenyataan balas yang kini telah pun dipadamkan dalam akaun Facebook miliknya berbunyi: "Bagus, telan lagi ubat penenang banyak-banyak. Buat kerja bodoh, salahkan orang. Drama je hidup. Mintak simpati. Jangan. Aku simpan je."

Kosmo! yang menemui Tiz pada majlis sidang media drama terbaharunya, Dejavu di Kinabalu Khamis lalu turut bertanya mengenai kontroversi cinta terbaharu mereka.

Kosmo!: Tiz sedar Remy meluahkan perasaan mengenai hubungan kalian di Twitter?

TIZ: Ya, saya tahu dan saya enggan komen. Dia (Remy) yang sakit, biarlah.

Kenapa Tiz tidak melawatnya di hospital?

Saya sibuk dengan penggambaran, selepas ini saya kena segera bergegas ke Hulu Langat, Selangor untuk penggambaran drama Dejavu di Kinabalu yang belum tamat.

Sebelum ini kalian lebih suka berahsia mengenai hubungan cinta, tetapi apabila Remy menggunakan laman sosial Twitter sebagai medan membuka pekung hubungan kalian, komen Tiz?

Saya memang tidak suka bercakap kisah peribadi kerana apa sahaja yang saya kata, orang ramai masih akan bercakap tentang kami. Pesanan saya, jangan mudah menghakimi mana-mana pihak.

Tidak hanya Remy, Tiz juga membalas kenyataan itu dalam akaun Facebook. Mengapa berbuat demikian sedangkan Tiz sedar setiap tindak tanduk kalian diperhatikan peminat?

Saya tengah marah ketika menulis status dalam Facebook. Saya mengaku saya seorang yang panas baran. Walaupun saya seorang artis, saya tetap menjalani kehidupan seperti mana yang saya mahukan, jadi saya tidak kisah tentang pandangan orang lain terhadap saya.

Selepas kenyataan balas daripada Tiz, ramai yang menganggap hubungan kalian sedang dilanda masalah. Benarkah begitu?

Rasanya tidak perlu untuk saya beri pemahaman kepada semua orang, cukuplah sekadar saya berkongsi dengan teman baik sahaja. Perkara ini hanya secubit dalam kehidupan, semua orang mengalaminya.

Status sebenar hubungan kalian?

Tidak mahu komen dan tidak berminat untuk menjawab. Biarlah apa sebenarnya berlaku saya simpan sendiri, bukan semua perkara saya boleh kongsi dengan peminat. Saya berharap sangat semua orang memahami situasi saya.


No comments:

Post a Comment

Komen di sini

Kongsi post yang anda SUKA ini di FACEBOOK & media sosial lain dengan rakan anda.







Arkib